PADANG SERAI, 4 Dis – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pentadbiran kerajaan luar tabii.

Ini kerana katanya, Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet yang diumumkan kelmarin.

“Tsunami yang melanda ini yang patutnya difahami oleh semua orang ialah tsunami Melayu yang mahukan kerajaan bersih, stabil dan prihatin. Bukan kerajaan kleptokrasi, berpakat dengan ‘cauvinis’ tubuh kerajaan mengawal tingkah laku kita semua.

“Kehendak kita bukan macam tu, kehendak kita lain. Tsunami yang melanda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) tidak sama sekali bermaksud melantik PH campur BN jadi kerajaan, tak bermaksud begitu.

“Kerajaan ini bertentangan dengan tabii, kerajaan ini kerajaan ‘luar tabii’,” katanya ketika berucap pada Jelajah Menteri Besar Kedah sempena pilihan raya Parlimen Padang Serai, di Taman Mutiara, Kulim, malam kelmarin.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, berkata pihaknya bimbang kerajaan ‘luar tabii’ itu sedang dinormalisasikan.

Katanya, kerajaan yang dibina Anwar sangat mengecewakan ramai orang termasuk dirinya.

“Ingat senang nak buat benda itu, tiba-tiba selepas lapan hari (Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri), benda yang paling kita tak mahu berlaku dalam negara ini ialah melantik seorang yang ada kes mahkamah begitu banyak, dengan tuduhan rasuah ratusan juta ringgit akhirnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Satu yang sangat di ‘luar tabii’. Adakah satu tabiat yang betul melantik orang yang ada kes mahkamah jadi pemimpin negara? Tak betul tuan-tuan, tak boleh,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah, berharap pengundi di Parlimen Padang Serai dapat menyedarkan semula pemimpin menerusi pilihan raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada hari Rabu ini.