KUALA LUMPUR, 5 Dis – PAS mendakwa DAP menikmati banyak manfaat walaupun tidak ramai Ahli Parlimen parti itu terpilih untuk memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan.

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata jawatan yang dipegang dalam Kabinet tidak penting, sebaliknya manfaat yang diperolehi wakil rakyat DAP.

“Yang penting, DAP mendapat manfaat yang banyak,” kata beliau selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai jumlah kecil keanggotaan wakil rakyat DAP dalam Kabinet sedangkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi daripada parti-parti lain dalam Kerajaan Pakatan Harapan.

Seramai empat Ahli Parlimen DAP dilantik menjawat jawatan menteri pada Jumaat lalu.