KUALA LUMPUR, 5 Dis – Jawatankuasa Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan Dewan Negara yang dipengerusikan Senator Ak Nan Eh Took, dicadang mengadakan mesyuarat segera dan berbincang bagi meneliti isu Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dibangkitkan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) baru-baru ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim turut meminta jawatankuasa meneliti segera secara mendalam dan membandingkan percanggahan antara cadangan dikemukakan pihak berkenaan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang diasaskan daripada Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.

“Isu ini perlu diperhalusi secepat mungkin memandangkan banyak kekeliruan berlaku. Sekiranya terus dibangkitkan, ia dibimbangi akan membawa kesan negatif kepada gerak kerja nasional pendidikan.

“Selain itu kemungkinan akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang ingin isu ini segera dituntaskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rais berkata, jawatankuasa turut dianggotai Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan Senator Datuk R Nelson.

Dong Zong dalam kenyataan sebelum ini memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.

Dalam kenyataan itu, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

Pada masa sama, Dong Zong menyebut, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).