KUALA LUMPUR, 6 Dis – Seramai 183 Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen ke-15 tahun 2022 diberi taklimat persidangan Dewan Rakyat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Nor Yahati Awang, hari ini.

Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua ahli turut diberi penerangan berkaitan Prosedur dan Perjalanan Dewan Rakyat oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin

Turut hadir pada taklimat yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadilah Yusof serta pegawai kanan Parlimen.

“Parlimen Malaysia mengalu-alukan kehadiran semua Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen Kelima Belas dan ucapan tahniah atas kejayaan untuk melaksanakan mandat rakyat Malaysia. Selamat Berkhidmat Yang Berhormat!” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung dua hari bermula 19 Disember dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah semua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).