KULIM, 6 Dis – Perikatan Nasional (PN) Kedah menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera menyelesaikan masalah rakyat dan menumpukan proses pemulihan ekonomi.

Menurut Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli, dua permasalahan ini sewajarnya menjadi fokus utama Perdana Menteri, bukannya melakukan serangan kepada PN.

”Saya tak nampak apa fokus agenda Anwar Ibrahim, bukan nak selesaikan masalah rakyat dan negara sebaliknya menyerang PN membabi buta,” katanya dalam satu sidang media semalam.

PN Kedah bertindak membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri itu atas kenyataan yang didakwa sebagai satu fitnah dan berniat jahat terhadap PN.

“Laporan polis ini kita buat berdasarkan kenyataan beliau dalam sidang media semalam (kelmarin) yang mengatakan PN menggunakan dana perjudian semasa kempen PRU15.

“Sudah tentu ini satu tuduhan yang berat, tidak berasas dan berunsur fitnah,” kata Khairul Anuar.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Kulim itu rata-ratanya mempersoalkan kenyataan Anwar.

Anwar dalam satu sidang media pada Isnin lalu membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

Memetik laporan Malaysiakini, Anwar berkata, Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Susulan itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menuntut Anwar mengemukakan bukti bahawa PN menggunakan dana daripada syarikat perjudian.

Setiausaha Agung Pas itu menegaskan, PN sedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan.