KUALA ROMPIN, 6 Dis – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada Speaker DUN secara bertulis dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau juga akan memaklumkan kepada Speaker DUN Pahang pelantikan Ketua Whip bagi gabungan itu iaitu ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.

“Kami akan cadangkan supaya jawatan Ketua Pembangkang DUN ini diberikan fungsi dan statusnya yang rasmi sebagaimana ada di DUN yang lain dan mengikut contoh yang ada di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Perikatan Nasional (PN) Pahang di sini hari ini.

“Banyaklah perkara yang dibincangkan. Tapi hari ini saya cuma nak umumkan pemilihan ketua pembangkang dan ketua Whip,” tambah Saifuddin.