KUALA LUMPUR, 6 Dis – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli disifatkan seperti individu hilang ingatan apabila tidak menentang pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ahli Parlimen Pandan itu, sebelum ini pernah mengkritik agar Perdana Menteri tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.

Menurut Wan Saiful, Rafizi dan pemimpin muda dalam PKR bukan lagi masa hadapan politik negara tetapi sekadar harapan Anwar yang juga Presiden PKR.

“Rafizi pernah berkata dia menentang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, tapi bila Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan, Rafizi terus amnesia (hilang ingatan).

“Saya langsung tidak menyangka bahawa Rafizi juga seorang penjilat Anwar. Rupa-rupanya Presiden dan Timbalan Presiden serupa sahaja. Demi jawatan dan kedudukan, sanggup menjual diri dan menggadai perjuangan,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook milik beliau, hari ini.

Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menyelar kenyataan Rafizi bahawa perlantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan disebabkan situasi ‘luar biasa’.

“Konon-kononnya ini masa yang luar biasa dan membolehkan prinsip dilupakan. Sebenarnya ujian yang menentukan kita berprinsip atau tidak ialah ujian pada waktu yang luar biasa.

“Nyata sekali perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah penipuan demi nafsu dan tiada prinsip,” katanya.

Semalam media melaporkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menyifatkan jawatan Menteri Kewangan digalas oleh Anwar disebabkan negara berada dalam situasi yang luar biasa.

Jelasnya ia ekoran kerana tiada parti yang dapat membentuk satu kerajaan dan bagi mengelakkan pertikaian antara parti-parti bergabung membentuk kerajaan.