ROMPIN, 7 Dis – Perikatan Nasional (PN) tewas tipis di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dengan majoriti hanya 573 undi.

Calon PN, Nor Idayu Hisham mendapat 7,507 undi, manakala tiga lagi pencabarnya, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly (784 Undi), Sulaiman Bakar (Bebas) meraih (58 undi) dan Osman A Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebanyak 79 undi.

Nor Idayu melahirkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang telah bekerja keras untuk memenangkan Islam dalam pilihan raya kali ini.

“Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan diri saya sepanjang tempoh berkempen kepada semua petugas.

“Semoga Allah terima segala amal kita semua dan diberkati Allah.

“Kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam dan moga terus istiqomah dalam perjuangan ini,” katanya.

DUN Tioman dimenangi penyandang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dengan memperoleh 8,080 undi.

Keputusan rasmi PRU15 DUN Tioman diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

Peratusan keluar mengundi pada PRU15 DUN Tioman merekodkan 57.5 peratus, gagal melepasi sasaran SPR sebelum ini.

PRU15 DUN Tioman diadakan lewat susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.