KUALA LUMPUR, 7 Dis – PAS menyifatkan mustahil untuk Perikatan Nasional (PN) menerima dana politik dari tauke dan syarikat judi ketika parti itu tegas menutup tempat perjudian, malah pernah dituduh Taliban.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ketika PN hampir membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saham syarikat perjudian menjunam, menggambarkan seolah-olah sentimen syarikat berkenaan terhadap PN tidak baik.

“Hanya akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada PN, sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam PRU15 yang lalu.

“Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.

“Diikuti pula dengan pembentukan Kabinet yang tidak bersih, kerana telah membabitkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, adalah sangat bodoh jika tauke judi menyumbang dana kepada pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

“Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan,” katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, apabila PAS memerintah Kelantan, kerajaan negeri mengambil satu langkah menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan pemimpin semua agama.

“Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama. Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian.

“Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga,” katanya.

Beliau berkata, selepas kerajaan PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam.

“Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu. Pepatah Melayu ada menegaskan, ‘Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain, nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu’.

“Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi makjun yang laris dijual,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya kelmarin mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.