KUALA LUMPUR, 8 Dis – Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, semalam, dilihat masih mencerminkan pola pengundian pada 19 November lalu.

Penganalisis politik serta media sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Sara Chinnasamy berpandangan keputusan itu juga menunjukkan pengundi, terutama orang Melayu di kedua-dua kawasan berkenaan menolak gabungan parti yang ada hubungan dengan DAP seperti Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pengundi di sana masih tidak dapat menerima BN bekerjasama dengan DAP kerana sudah bertahun-tahun lamanya mereka menolak jalinan sedemikian.

“Dalam sejarah politik di Malaysia, khususnya membabitkan UMNO, penolakan kerjasama dengan DAP memang telah sebati dalam masyarakat Melayu.

“Kerjasama dengan DAP melalui kerjasama BN-PH dilihat agak luar biasa dan rakyat belum dapat mencerakin. Perkara ini terus ditunjukkan melalui keputusan PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

“BN memenangi kerusi DUN Tioman tetapi dengan majoriti rendah,” katanya hari ini.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menewaskan pesaing terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak yang mewakili PH, dengan majoriti 16,260 undi.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee meraih 35,377 undi. Calon BN, Datuk C Sivaraj yang memberi laluan kepada Mohamad Sofee selepas penamaan calon pula mendapat 2,983 undi.

Di DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain yang wakili BN, berjaya mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat pada PRU15 dengan majoriti tipis 573 undi dalam pertembungan lima penjuru. Pesaing terdekatnya, Nor Idayu Hashim daripada PN, meraih 7,507 undi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan kemenangan besar gabungan parti politik itu di kerusi Parlimen Padang Serai serta kekalahan tipis di DUN Tioman, sebagai tanda positif sokongan padu rakyat.

Muhyiddin dipetik berkata, keputusan di kedua-dua kerusi itu menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN-PH.

Beliau juga mendakwa PH dan BN melakukan ‘the biggest electoral fraud ever’ (penipuan pilihan raya terbesar) pada PRU15.