KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, adalah isyarat yang jelas bahawa rakyat tolak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) memerintah negera.

Wan Ahmad Fayhsal berkata keputusan rakyat Padang Serai yang mengundi PN menyaksikan satu lagi kubu kuat PKR telah gugur.

“Rakyat Padang Serai tak ambil peduli kerajaan campuran Pakatan Harapan memerintah negara, mereka tetap undi Perikatan Nasional.

“Kubu PKR satu lagi gugur. Isyarat yang jelas,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.

Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.