PETALING JAYA, 8 Dis – Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa bertemu dengan 31 Ahli Parlimen BERSATU, bagi berkongsi pandangan untuk memperkukuhkan suara rakyat di Parlimen, tidak lama lagi.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui di majlis itu berkata semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli Parlimen BERSATU sangat membara dan pelbagai input dapat dikongsi dalam memantapkan lagi gerak kerja di kawasan parlimen masing-masing.

“Petang tadi semua Ahli Parlimen BERSATU mengadakan pertemuan dengan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti.

“Saya gembira melihat semangat dan kesungguhan rakan-rakan Ahli Parlimen.

“Keseluruhannya, BERSATU ada 31 Ahli Parlimen. Ini menjadikan BERSATU bukan saja lebih besar dari UMNO, tetapi lebih besar dari BN keseluruhannya.

“Syukur Allah memberikan peluang kepada BERSATU untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada BERSATU yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pertemuan ini adalah pertama kali diadakan khususnya selepas kemenangan Datuk Azman Nasrudin di Padang Serai, semalam.

“Pertama kali dapat berhimpun khususnya selepas kemenangan YB Cikgu Azman (Padang Serai) semalam.

“Insha-Allah kami akan jadi pembangkang yang baik bersama rakan-rakan Perikatan Nasional,” katanya.

Bagi Naib Ketua Srikandi BERSATU yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata BERSATU kekurangan wakil rakyat wanita sungguhpun bertanding di enam kerusi Parlimen.

Katanya, lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita wajar diberikan dalam BERSATU supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat.

“Kita kekurangan Ahli Parlimen wanita. Nampak tu, hanya 1 Ahli Parlimen wanita dari 31 Ahli Parlimen BERSATU Malaysia. Tak cukup.

“Ahli Parlimen wanita yang bertanding hari tu pun hanya 6 Parlimen. Tak ada rezeki yang lain.

“Kita perlukan lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita dalam Parti BERSATU supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat. Berdiri sama tinggi, bila duduk sama rendah. Saya percaya ramai yang berpotensi di luar sana.

“Proses ini perlukan komitmen dari semua pihak. Bukan hanya dari satu pihak semata-mata. Sama-sama kita usaha capai matlamat itu,” katanya.