KUALA LUMPUR, 8 Dis – Kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen di Padang Serai dan kekalahan tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman tanda positif sokongan padu rakyat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan kerusi Parlimen dan DUN itu menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever’ dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya di media sosial hari ini.

Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Padang Serai dan Tioman yang memilih Perikatan Nasional.

PN merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Pertembungan enam penjuru di kerusi berkenaan turut membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraajh, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamzah Abd Rahman; calon Parti Warisan (WARISAN), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, iaitu Sreanandha Rao.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.

Bagi DUN Tioman, calon BN, Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.

Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai.

“Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” katanya.