PADANG SERAI, 8 Dis – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, menyifatkan kemenangannya di kerusi itu hari ini sebagai bukti rakyat menolak pembentukan kerajaan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai itu juga adalah manifestasi penolakan rakyat terhadap pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Sehubungan itu, beliau berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyelami mesej yang disampaikan majoriti rakyat Padang Serai dan berhati-hati dalam sebarang keputusan yang diambil.

“Saya percaya keputusan ini adalah satu mesej jelas daripada rakyat Malaysia dan warga Padang Serai yang menolak kerajaan campuran PH-BN dan Kabinet kleptokrat serta membantah pelantikan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah sebagai TPM 1.

“Ia juga satu signal yang jelas bahawa Perdana Menteri baharu kita untuk berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau,” katanya dalam satu kenyataan susulan disahkan menang di Parlimen Padang Serai, hari ini.

Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.

Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai peranannya, Azman menjelaskan akan bersama-sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil rakyat PN yang lain untuk menjadi pembangkang berwibawa dan memantau tindak-tanduk kerajaan.

“Saya juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen kelak dan memastikan suara dan hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin,” katanya.