KUALA LUMPUR, 9 Dis – Kemenangan di Parlimen Padang Serai menunjukkan gelombang Perikatan Nasional (PN) di negeri-negeri utara dan negeri pantai timur masih kuat ketika ini, terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyifatkan, penguasaan PN di negeri utara dan pantai timur adalah kerana kemerosotan pengaruh BN berpunca daripada isu-isu yang dihadapi oleh UMNO sebelum ini.

“Kalau mengikut kajian sebelum ini, tak nampak sangat pengundi akan beralih undi ke pihak lain, tetapi ia semakin jelas apabila UMNO berdepan krisis kepimpinan melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, isu projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan isu Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi, berlaku sabotaj dan undi protes kerana isu-isu itu mengurangkan keyakinan pengundi. Majoriti pengundi terutama di utara dan pantai timur pula mahukan parti yang mempunyai sentimen Melayu dan Islam, sebab itu mereka cenderung kepada PN, sekali gus menjadi tsunami hijau,” katanya ketika dihubungi.

Disebabkan itu katanya, kebanyakan kawasan majoriti penduduk Melayu di negara ini kini cenderung kepada PN, dengan pengundi baharu turut memilih PN kerana terpengaruh dengan sentimen perkauman dan agama yang dimainkan di media sosial.

Namun, beliau percaya, gelombang PN tidak akan bertahan lama sehingga tahun hadapan, sama seperti apa yang berlaku kepada PH pada PRU14.

“Ini hanyalah trend PRU15, ia sekadar isu semasa jadi takkan kekal lama. Masa PRU14, PH menang besar tapi lepas setahun, pengundi lari habis. Namun, PH naik balik dua tahun kemudian.

“Jadi, sokongan yang PN raih ini tidak berterusan dan ia akan berubah-ubah. Kalau kerajaan perpaduan fokus kepada selesaikan masalah rakyat, imej DAP pun luntur kerana ada empat menteri sahaja ketika ini, dengan 70 peratus Kabinet terdiri daripada orang Melayu, tak mustahil Melayu akan kembali menyokong PH dan BN,” katanya.

Ini menyaksikan PN kini menguasai 14 daripada 15 kerusi di Kedah, menyapu bersih semua kerusi di Perlis (3), Kelantan (14), Terengganu (8) selain tiga daripada 13 kerusi Pulau Pinang, 10 daripada 24 kerusi Perak dan tujuh daripada 14 kerusi Pahang.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya meraih satu kerusi di Kedah (Sungai Petani), 10 kerusi di Pulau Pinang, 11 kerusi Perak, dua kerusi di Pahang namun tiada kerusi di Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Barisan Nasional (BN) lebih parah apabila tidak memenangi sebarang kerusi di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang, dengan hanya meraih tiga kerusi di Perak dan lima kerusi di Pahang.