Hari ini kita digemparkan dengan berita ADUN dan Ahli Parlimen BERSATU Sabah keluar daripada parti BERSATU secara beramai-ramai. Tindakan mantan Pengerusi BERSATU Sabah, YB Dato’ Seri Panglima Hajiji yang mengepalai gerakan ini hanyalah semata-mata mahu kekal dalam koridor kuasa negeri Sabah. Tidak lagi memikirkan tentang prinsip-prinsip perjuangan yang pernah dilaungkan dahulu.

Kekesalan dan kekecewaan ARMADA BERSATU ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera-jentera ARMADA BERSATU dan Pemuda Perikatan Nasional yang telah bertungkus lumus memenangkan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Tindakan Dato’ Seri Panglima Hajiji ini juga dilihat sebagai tidak mengenang segenap kesungguhan dan pengorbanan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Pengerusi Perikatan Nasional dan juga YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung parti yang telah sedaya upaya membantu beliau untuk memenangi PRN Sabah dan seterusnya mengangkat beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

ARMADA BERSATU Nasional juga ingin membidas kenyataan dangkal yang dibuat oleh YB Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Agung GRS yang cuba mengaitkan Perikatan Nasional sebagai parti yang mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata; YB Datuk Seri Masidi Manjun sebagai seorang tokoh dan pemimpin yang beragama Islam adalah disarankan untuk merujuk semula kepada FASAL 6 dalam perlembagaan Parti BERSATU dan FASAL 5 dalam perlembagaan parti Perikatan Nasional.

Jelas sekali tujuan BERSATU dan Perikatan Nasional ditubuhkan, sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.

Kami yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan ARMADA di Sabah yang kekal SETIA bersama BERSATU, terima kasih diucapkan. Kita akan bina semula BERSATU di negeri Sabah.

YB WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
KETUA ARMADA BERSATU NASIONAL
10 DISEMBER 2022