KUANTAN, 10 Dis – Jumlah luar biasa lantikan menteri dan timbalan menteri yang berstatus senator dalam kabinet dilihat mencacatkan amalan demokrasi di Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut mempersoalkan mengenai kredibiliti apabila calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) yang kalah tetapi dilantik untuk menganggotai kabinet.

Beliau mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Ahli Dewan Rakyat.

“Melantik senator adalah perkara lazim bagi membolehkan Perdana Menteri melantik golongan profesional dan penjawat awam iaitu mereka yang pakar dan bukan dalam kalangan ahli politik.

“Tetapi jumlah ahli politik yang kalah dilantik senator agak luar biasa. Kalau begitu mungkin tidak perlu buat pilihan raya. Rakyat merungut dan mencacatkan amalan demokrasi.

“Saya tidak kata orang kalah tidak boleh dilantik (senator) tapi lazimnya jawatan senator untuk golongan profesional dan pakar. Kalau ada yang kalah itu seorang dua sahaja, tapi kali ini ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Seramai empat menteri dan dua timbalan menteri dilantik sebagai Senator Dewan Negara bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal ini.

Difahamkan sebelum ini, sekurang-kurangnya dua senator yang dilantik dalam barisan kabinet yang terdiri daripada profesional dan pakar dalam sesuatu bidang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, PN sebagai pembangkang akan menubuhkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang bayangan sebagai usaha untuk memperkukuhkan proses semak dan imbang kepada barisan kepimpinan kerajaan Pahang yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, langkah itu diambil bagi membolehkan PN menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan produktif baik di peringkat pusat mahupun negeri Pahang.

“Kita tunggu Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) umum portfolio, kemudian kita akan umum barisan Exco bayangan kita.

“Begitu juga di Dewan Rakyat, akan wujud kabinet bayangan bagi sebuah negara demokrasi supaya proses semak dan imbang berjalan dengan teratur dan sistematik serta ada persaingan yang sihat di antara pihak kerajaan dan pembangkang.

“Selain itu, Dewan Rakyat juga perlu ada jawatankuasa pilihan khas yang diinstitusikan supaya peranannya lebih bermakna sebagaimana di sesetengah negara demokratik maju lain,” Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.