BERSATU Negeri Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan BERSATU di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan hanya MPT BERSATU yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT BERSATU dan MT PN.

Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu. Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

Saya percaya ahli-ahli BERSATU di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam BERSATU yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan.

Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU 15, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan
Pengerusi Perikatan Nasional
11 Disember 2022