TASEK GELUGOR, 11 Dis – “Dalam tempoh 30 minit, saya kena lap meja sekurang-kurangnya tiga kali jika tidak debu akan penuh sehingga menyukarkan pelanggan makan dan minum.”

Demikian luah peniaga makanan di Kampung Lubuk Meriam di sini, Asrol Ahmad, 50, ekoran masalah pencemaran debu pasir yang berpunca daripada lori keluar masuk bagi melalukan kerja menaik taraf paip air milik anak syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, meskipun aduan mengenainya sudah dibuat sejak enam bulan lalu namun tiada sebarang jalan penyelesaian dibuat sehingga kini.

“Jangan kata perlukan masa untuk bersihkan meja berkali-kali sehari malah saya juga berdepan situasi kekurangan pendapatan RM200 hingga RM300 sehari susulan pelanggan tidak selesa menjamu selera di sini disebabkan masalah debu.

“Lokasi projek itu hanya berhadapan dengan premis serta rumah penduduk jadi bila lori keluar masuk ke kawasan itu ia membawa tanah hingga ke jalan raya sekali gus menyebabkan debu berterbangan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut penduduk, Mohd Yusuf Mustaffa, 70, pakaian di ampaian luar rumahnya bertukar menjadi warna ‘tanah’ kerana diliputi debu sekiranya dibiarkan sehingga petang.

Selain itu, bekas guru itu turut mendakwa dia perlu membersihkan rumah serta keretanya setiap hari susulan debu akan menebal sekiranya dibiarkan.

“Kita jemur kain pagi kalau boleh sebelum tengah hari kena kutip kalau tidak pakaian semua kena cuci semula kerana akan diliputi warna tanah.

“Sepatutnya lori-lori yang terlibat dengan projek paip air itu dibersihkan terlebih dahulu supaya pasir dan lumpur tidak bertaburan di sepanjang jalan tepati yang berlaku sebaliknya.

“Jadi kita harap pihak bertanggungjawab tangani isu ini kerana kita bukan halang mereka buat projek tapi minta lori patuhi sop demi kesejahteraan bersama,” ujarnya yang sudah menetap di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengambil tindakan susulan terhadap pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian.

“Saya dimaklumkan aduan telah dibuat terhadap pihak berkuasa tempatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan namun tiada tindakan untuk menangani isu ini dilakukan.

“Jadi kita akan cari siapa pemilik projek dan bawa isu ini kepada pihak bertanggungjawab agar penduduk serta peniaga di sini tidak terbeban atau terus dibelenggu masalah pencemaran debu,” ujar Wan Saiful.