KUALA LUMPUR, 11 Dis – Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang keluar parti itu, semalam.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), ketika mengumumkan perkara itu berkata Ronald turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah.

Beliau berkata, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran akan bertanggungjawab menyelia dan menguruskan BERSATU Sabah serta PN Sabah sehingga penyusunan semula BERSATU dan PN negeri itu diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU serta Majlis Tertinggi (MT) PN.

Walaupun kecewa dengan tindakan sekumpulan wakil rakyat dengan diketuai Hajiji keluar BERSATU Sabah setelah diangkat ke kedudukan tinggi oleh parti itu, Muhyiddin menegaskan BERSATU Sabah kekal wujud dan tidak lumpuh sebagaimana didakwa, kerana ia masih didukung sejumlah ahlinya yang terus setia bersama perjuangan parti.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Sabah tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu. Lebih-lebih lagi, kemenangan mereka dalam PRN lalu adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli BERSATU di Sabah yang setia dengan perjuangan parti, akan terus kekal dalam BERSATU yang merupakan parti komponen PN pada peringkat Persekutuan.

“Kedudukan BERSATU Sabah kekal wujud serta berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, pemimpin BERSATU Sabah meliputi empat Ahli Parlimen dan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mengumumkan keluar parti selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di negeri itu.

Hajiji ketika mengumumkan perkara berkenaan memaklumkan, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu tetapi buat masa ini, mereka secara kolektif menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen yang keluar BERSATU Sabah itu, Muhyiddin berkata, ia akan ditentukan mengikut peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS pada PRU15, ia akan ditentu berdasarkan undang-undang antilompat parti bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.