KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kewajaran kerajaan memulakan program pemberian tuala wanita percuma di tandas Pejabat Menteri Kesihatan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia berkata, mereka yang memerlukan ialah golongan wanita tidak berkemampuan bukannya yang bekerja di Pejabat Menteri Kesihatan.

Wan Saiful mendakwa, situasi itu seolah-olah menunjukkan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa tidak memahami siapa kumpulan sasaran program bantuan untuk rakyat miskin.

“Kalau menteri bagi kepada pegawai pejabat menteri yang makan gaji beri-ribu ringgit sebulan, itu salah guna kuasa.

“Takkan nak suruh warga berpendapatan rendah panjat ke tandas Pejabat Menteri?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Dr. Zaliha mengumumkan, Kementerian Kesihatan akan memulakan program pemberian tuala wanita secara percuma bagi menyokong usaha menangani kemiskinan haid dalam negara.