KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris menegaskan empat Ahli Parlimen Sabah terpaksa mengosongkan kerusi dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas mereka memberi sokongan kepada kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Razali berkata, dalam kes berkenaan keempat-empat bekas Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) juga secara automatik gugur keahlian BERSATU.

Katanya, ini kerana Perlembagaan BERSATU menetapkan mana-mana ahli yang mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan parti terpecat keahlian mereka.

“Perkara ini turut disokong oleh kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bahawa empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang mengumumkan keluar parti itu, mesti mengosongkan kerusi masing-masing, jika peletakan jawatan mereka diterima.

“Wan Junaidi yang terbabit dalam penggubalan undang-undang anti-lompat parti juga menegaskan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan segera susulan kekosongan kerusi berlaku di semua kawasan Parlimen terbabit.

“Wan Junaidi juga menegaskan tidak penting sama ada empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket GRS atau mewakili mana-mana gabungan lain, kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Razali berkata, BERSATU akan menyerahkan kepada kuasa budi bicara Speaker Dewan Rakyat untuk mentafsir dan menentukan sama ada berlaku kekosongan kerusi luar jangka atau tidak susulan tindakan empat Ahli Parlimen terbabit keluar BERSATU.

Beliau berkata, jika berlaku kekosongan kerusi terbabit maka Speaker Dewan Rakyat perlu mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas tarikh writ diterima.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dipetik sebagai berkata, keputusan muktamad berhubung status empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang mengumumkan keluar parti bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Azalina berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan Peguam Besar Sabah mengenai situasi yang berlaku.

“Kedua, dalam perkara 49A (Perlembagaan Persekutuan), keputusan muktamad adalah Speaker, (yang mana keputusannya) dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.

“Tapi, dalam pindaan Perlembagaan itu (berkaitan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau Akta A1663, diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian.

“Ia di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan ‘Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind’ di sini pada Isnin.