BUKIT GANTANG, 13 Dis – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan akan memberi tambahan bajet kepada golongan nelayan di negara ini, tahun hadapan.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pertambahan peruntukan itu akan dapat membantu kumpulan nelayan yang terjejas terutama pada musim tengkujuh ini.

“Di peringkat LKIM, nelayan-nelayan yang terlibat dengan bencana contoh bumbung tercabut dan sebagainya, memang kita ada peruntukan bencana, setiap tahun kita berikan kepada nelayan.

“Untuk tahun ini peruntukan memang tidak ditambah, tetapi untuk tahun depan sebab musim banjir belum berakhir, saya harapkan menteri baharu akan beri tambahan bajet kepada nelayan.

“Mereka ini dalam musim banjir pun, apabila ada keperluan bantuan bot untuk selamatkan mangsa banjir, mereka akan bantu apabila dipanggil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut kepada 25 nelayan tempatan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menggesa, cadangan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) daripada RM300 ke RM500 yang disuarakan sebelum ini dibawa ke Persidangan Dewan Rakyat, bulan ini.

Katanya, kerajaan boleh melaksanakan kenaikan itu tanpa melibatkan peruntukan tambahan iaitu dengan hanya mengurangkan bantuan subsidi minyak kepada nelayan.

“Saya ada formula tersendiri dan selepas membuat kira-kira, ia dapat dilaksanakan tanpa peruntukan tambahan dan tidak menjejaskan pelaksanaan serta penangkapan ikan.

“Dengan kenaikan ini, hampir 40,000 nelayan seluruh negara bakal mendapat tambahan ESHN sebanyak RM96 juta setahun yang hanya diambil daripada subsidi minyak,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijadualkan berlangsung pada 19 Disember ini.