KUALA LUMPUR, 13 Dis – Tiada arahan khusus diberikan kepada ahli Parlimen supaya menyokong Perdana Menteri dalam usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Sehubungan dengan itu, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu pramesyuarat bagi membincangkan perkara mahu dibawakan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mesyuarat yang akan diadakan sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat itu memutuskan strategi bakal digunakan mereka.

“(Mesyuarat) mengenai bagaimana kita nak masuk ke Parlimen, apa mesej yang kita nak bawa dan keputusan-keputusan perlu kita undi nanti.

“Semua itu dalam pramesyuarat,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian pada Isnin.

Wan Saiful yang merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tidak akan menyokong usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya secara peribadi sudah pasti akan menolak melainkan kalau ada arahan daripada parti sebaliknya. Tetapi saya tak boleh nak bayang bahawa kita akan menyokong Anwar.

“Saya tidak ada kepercayaan terhadap Anwar dan itu hak saya sebagai ahli Parlimen,” tegasnya.