KUALA LUMPUR, 14 Dis – Seramai 320,000 pencarum menuntut kerajaan mempertimbang pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar 2.0 bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR), Azmi Mohd Tahir berkata jumlah permohonan pencarum mungkin akan mencatatkan peningkatan setelah mereka meminta borang aduan untuk diisi.

Katanya, dianggarkan 50 peratus daripada mereka yang menuntut itu berada dalam senarai hitam atau blacklist sekali gus menyukarkan mereka membuat sebarang pinjaman kecuali dengan ah long.

“Alhamdulillah, kami dapat berjumpa dengan Ahli-Ahli Parlimen BERSATU dan menyerahkan empat usul tuntutan KWSP Bersasar 2.0. Mereka menerima penerangan daripada saya dan reaksi mereka sangat positif dan mereka akan bawa suara ini di Dewan Rakyat.

“Di blok kerajaan kami dah usulkan kunjung hormat kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan beberapa ahli Parlimen di pihak kerajaan, tetapi setakat ini kami telah berjumpa tiga orang sahaja.

“saya sangat berharap, PM tengok sendiri kesusahan pencarum, kehidupan mereka amat terkesan, kerana gaji yang mereka dapat tak seimbang dengan apa yang mereka tanggung. Ada gaji ditolak, ada yang diberhentikan kerja, bukan keadaan waktu pandemik tapi sekarang ini,” katanya kepada Penerangan BERSATU.

Azmi berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan empat usul tuntutan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar 2.0 kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Terdahulu, Azmi dijemput menyampaikan taklimat berhubung perkara itu kepada beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ahli Parlimen BERSATU.

Hadir sama mendengar taklimat itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi; Ketua Srikandi Muda Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Mantan Ketua Setiausaha Sulit PM-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Di dalam tuntutan ini, empat usul fokus bersasar ialah pertama, suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraannya bagi menyara kelangsungan hidup mereka yang semakin terhimpit di samping dapat membantu ekonomi keluarga dan kemajuan anak-anak mereka.

Kedua, bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan, dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraannya untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memperbaiki ekonomi yang semakin meruncing.

Ketiga, pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 dibenar mengeluarkan 30% daripada Akaun 1 mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan harga barang yang berterusan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menangani dengan baik dan terakhir, pencarum yang masih aktif mencarum yang mempunyai baki simpanan Akaun 1 RM19,999.99 dan ke bawah dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 di dalam Akaun 1 dan 2.