MARAN, 15 Dis – Kerajaan UMNO-DAP di Pahang dicabar mengisytiharkan peraturan melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda kerajaan tersebut benar-benar mempunyai maruah dan integriti.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu juga akan memudahkan penjawat awam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Kalau Menter Besar UMNO-DAP mempunyai maruah dan integriti isytiharkan saja Perikatan Nasional dilarang menggunakan fasiliti dan kemudahan kerajaan. Hanya DAP sahaja yang dibenarkan.

“Penjawat awam pun mudah untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau mengulas tindakan menarik balik kebenaran penggunaan Dewan Tun Razak Temerloh kepada Perikatan Nasional bagi mengadakan jamuan kenduri rakyat.

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.

Jasri berkata, tindak-tanduk kerajaan UMNO-DAP Pahang jelas menggambarkan minda mereka masih ditakuk lama.

“Jangan menafikan hak pengundi-pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional. Rakyat Melayu Pahang adalah ‘Puak Beraja’.

“Kamu diberi mandat dan amanah oleh Istana untuk mentadbir secara profesional, jujur dan saksama. Menafikan hak mereka samalah mengkhianati amanah dan mandat yang diberi,” katanya.

Jasri menambah, masa berpolitik sudah habis dan pilihan raya sudah pun selesai.

“Fokuslah untuk memajukan negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.