KUALA LUMPUR, 17 Dis – Perjanjian persefahaman (MoU) yang memaksa Ahli Parlimen undi usul kepercayaan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dianggap tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator, kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati berkata, perjanjian ditandatangani dan dimeterai parti politik bagi membentuk kerajaan PH-BN, semalam juga haram, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.

“Klausa 4 MOU itu menyatakan, kesemua Ahli Parlimen wajib menyokong Perdana Menteri (PM) dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan PH-BN.

“Menurut Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana Ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Kami sentiasa akan menyokong sebarang ikhtiar untuk memastikan wujud kerajaan yang stabil, tetapi tidak dengan cara membelakangi perlembagaan dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama PH bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Menurut Mas Ermieyati, Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara Ahli Parlimen mengundi.

Katanya, tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam Artikel 49A dan ia hanya merangkumi situasi di mana seseorang Ahli Parlimen berkenaan meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

Beliau menambah, jawatankuasa pilihan khas menimbang rang undang-undang perlembagaan mengenai peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang telah menyatakan pada 18 Julai 2022 bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya di bawah Artikel 49A. Ini boleh didapati di dalam perenggan 21.4 Laporan jawatankuasa pilihan itu.

“Tidak mungkin Anwar dan pimpinan UMNO tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini. Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut Ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti, walaupun ia membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen.

“Perlembagaan Persekutuan serta laporan jawatankuasa pilihan ini adalah jelas. Anwar dan parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Artikel 49A untuk ugut Ahli Parlimen untuk mengundi bagi menyokong Anwar sebagai PM pada Disember 19 atau lepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan.

“Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana beliau rasa betul demi kepentingan pengundi beliau. Ini juga jelas dari keputusan dalam kes Mahkamah Agung, Datuk Ong Kee Hui v Sinyium Anak Mutit (1983) 1MLJ 36.

“Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MOU terhadap Ahli Parlimen dari parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU, berkata MOU yang dijana oleh Anwar Ibrahim dan PH-BN ini akan disemadikan selamanya sebagai titik hitam di dalam sejarah negara dan tindakan subversif terhadap demkorasi berparlimen serta struktur asas perlembagaan.

“Kami menyeru semua ahli Dewan Rakyat dari parti kerajaan untuk tidak rasa takut dalam menjalankan tanggungjawab mereka semata-mata kerana kewujudan perjanjian haram ini,” katanya

Katanya, ia seiring dengan Artikel 49A, yang menyatakan ahli Dewan Rakyat tidak akan hilang kerusi semata-mata kerana mengundi berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Kami juga menyeru kesemua Ahli Parlimen untuk mengundi menurut apa yang benar dan baik untuk negara ini dan rakayat, serta berdasarkan nurani (conscience).

“Ini adalah satu ancaman yang paling merbahaya terhadap demokrasi Malaysia sejak kebelakangan ini, dan kami berharap kesemua Ahli Parlimen akan membuat satu pendirian yang berani terhadap despotisme baru ini, ” katanya.