KUALA LUMPUR, 17 Dis – Pembabitan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menandatangani perjanjian persefahaman bersama parti gabungan lain Kerajaan Pakatan Harapan (PH), semalam, sebagai tidak sah.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia kerana BERSATU sebagai parti pengasas dan ahli GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan berhubung perjanjian persefahaman itu.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah mendakwa, BERSATU masih ahli sah dalam GRS seperti tercatat dalam perlembagaan gabungan itu, manakala Ketua Menteri Sabah, Datuk Panglima Hajiji Noor bukan lagi Pengerusi GRS yang sah kerana sudah keluar BERSATU.

“BERSATU adalah parti pengasas GRS. Menurut Fasal 6.1 (ii) Perlembagaan GRS, BERSATU adalah ahli yang sah Badan Gabungan itu.

“Selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, saya memaklumkan bahawa BERSATU sebagai ahli Badan Gabungan GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan yang memutuskan supaya GRS memasuki perjanjian persefahaman dengan gabungan parti lain untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya menegaskan bahawa Datuk Hajiji Noor yang dilantik sebagai Pengerusi GRS atas kapasiti beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah sebelum ini, tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai Pengerusi GRS kerana tindakan beliau keluar dari BERSATU,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, keahlian Hajiji dalam GRS ketika ini hanyalah sebagai ahli individu, manakala kedudukan beliau sebagai Pengerusi GRS perlu diputuskan semula oleh Majlis Tertinggi GRS.

“Berikutan ini, perjanjian persefahaman gabungan parti politik menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan PH yang ditandatangani Datuk Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS semalam tidak sah dan tidak mewakili aspirasi BERSATU melalui GRS,” katanya.

Semalam, Hajiji mewakili GRS menandatangani perjanjian persefahaman parti gabungan yang membentuk kerajaan bersama PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (WARISAN).

Pada 10 Disember lalu, Hajiji mengumumkan keputusan sebulat suara pemimpin dan wakil rakyat BERSATU Sabah yang dketuainya keluar daripada parti itu dan menjadi ahli individu dalam GRS sebelum menubuhkan sebuah parti baharu sebagai landasan politik mereka.