KUALA LUMPUR, 17 Dis – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan perjanjian persefahaman yang ditandatangani gabungan parti kerajaan, semalam, sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata kandungan dalam perjanjian bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

Katanya, undang-undang anti lompat parti yang mula berkuat kuasa pada Oktober lalu tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

“Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perjanjian yang tidak berperlembagaan itu menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sekiranya beliau yakin, katanya, tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

“Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau Rang Undang-Undang (RUU) lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

“Ini kerana, seperti didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan Perlembagaan dibuat,” katanya.

Muhyiddin berkata, sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran ini dianggap sah, tidak mustahil pindaan Perlembagaan yang bertentangan dengan naluri Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

“Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik,” katanya.