PAGOH, 17 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seperti tidak yakin dengan sokongan barisan ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk parti gabungan itu, kelmarin.

Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isi kandungan MoU yang turut menyentuh mengenai gugurnya jawatan sebagai ahli Parlimen sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri sempena usul undi percaya Isnin ini adalah suatu yang bertentangan.

“Saya tak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang sekalipun bahawa perkara seperti ini boleh dilaksanakan, kecuali yang berkaitan Akta Lompat Parti. Tetapi ini tak termasuk dalam akta berkenaan kalau tak sokong gugur kedudukan dia sebagai ahli Parlimen.

“Mereka (ahli Parlimen) ini ada hak dan kebebasan, itu termaktub dalam undang-undang yang mana kalau dia nak sokong, dia sokong, kalau dia tak sokong tak mengapa.

“Tak tergugur jawatan dan kalau parti nak ambil tindakan disipilin itu soal lain, tak adalah sampai dia harus berhenti dan kosongkan kerusi. Saya lihat macam Perdana Menteri tak berapa yakin untuk teruskan usul undi percaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, pelaksanaan usul undi percaya seharusnya dilakukan atas dasar kebebasan dan bukannya memaksa wakil rakyat untuk memberikan sokongan dalam usaha mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Kelmarin, isi kandungan MoU Kerajaan Perpaduan dilihat mengikat ahli Parlimen di bawah gabungan itu apabila menyatakan mereka perlu mengundi dan menyokong setiap usul percaya dan rang undang-undang perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka termasuk pada Sidang Khas Parlimen, Isnin depan, ia sekali gus membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen.

Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen manakala kerusi ahli Parlimen terbabit perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.