KUALA LUMPUR, 18 Dis – Seramai 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertemu bagi mengadakan sesi Mesyuarat Pre-Council Ahli Dewan Rakyat PN di ibu negara, petang tadi.

Sesi mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi PN yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Timbalan Pengerusi PN yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sesi mesyuarat itu diatur sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat Kali Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15, yang akan bermula esok (Isnin).

Kemenangan PN di Padang Serai menyaksikan gabungan itu menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu kepada 74 kerusi di seluruh negara.

PH pula kekal 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.