ALOR SETAR, 18 Dis – Tiada keperluan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul pada Ahad.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, pilihan raya kawasan berkenaan hanya akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi seluruh negeri Kedah yang tempoh mandatnya akan berakhir Julai depan.

Menurutnya, ia selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mana PRK tidak boleh lagi diadakan bagi Parlimen mahupun DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali terdapat keperluan khas.

“Johari meletakkan jawatan sebagai ADUN Gurun menerusi surat bertarikh 13 Disember. Saya menerima surat berkenaan dan ia adalah sah. Saya juga sudah maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Juhari berkata, SPR akan mengumumkan pengosongan kerusi DUN Gurun secara rasmi kelak.

Buat masa ini tiada sebarang perubahan, semua seperti biasa sebab tiada keperluan untuk isi kekosongan kerusi tersebut memandangkan mandat kerajaan negeri akan berakhir dalam tempoh kurang dua tahun, iaitu tujuh bulan sahaja, bermakna tak perlu adakan PRK,” katanya lagi.

Menurutnya, susulan pengosongan kerusi DUN Gurun terbabit, tiada wakil rakyat akan mewakili masyarakat kawasan tersebut buat sementara sehingga PRU15 diadakan.

“Namun secara tidak rasmi atau untuk menjaga kebajikan masyarakat kawasan tersebut, parti yang menang di situ bolehlah bertindak sebagai care taker buat sementara,” ujarnya.

Pada Ahad, Johari memaklumkan telah mengosongkan kerusi DUN Gurun serta-merta menerusi rakaman video tanpa menyatakan sebarang sebab tindakannya itu.

Namun dipercayai tindakan bekas Pengerusi PKR Kedah itu ada kaitan dengan pencalonan namanya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat oleh Pakatan Harapan (PH) yang akan bersidang esok buat kali pertama selepas PRU15.

Johari berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal sejak 2018, namun tidak menyertai PRU15, selepas digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil rakyat PH yang menang di Kedah.