KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat dikecualikan daripada memakai tali leher.

Kebenaran itu diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas mendapat permintaan serta cadangan daripada wakil rakyat.

“Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan sebelum untuk esok, mereka yang nak memakai sut, saya mengecualikan daripada memakai tali leher,” katanya sebelum menangguhkan persidangan hari ini.

Dengan pengecualian itu, Johari berkata, Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat esok boleh memakai baju Melayu lengkap atau jaket tanpa tali leher.

Berdasarkan garis panduan Kod Etika Berpakaian Parlimen Malaysia sebelum ini, bagi individu lelaki yang memasuki Parlimen harus mengenakan kot, berseluar panjang dan disesuaikan dengan kemeja lengan panjang serta bertali leher.

Pilihan warna bagi seluar dan kot harusnya sepadan dan digalakkan berwarna hitam atau gelap.

Bagi wanita pula, harus mengenakan kot, kemeja, berseluar panjang atau skirt labuh dengan pilihan warna hitam atau gelap.

Manakala bagi setiap hari Khamis, mereka yang memasukan Parlimen dibenarkan memakai baju batik.