KUALA LUMPUR, 19 Dis – Keputusan pembangkang tidak meminta undi belah bahagian bagi menentukan sokongan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat bersandar pendirian bersama mereka bahawa usul terbabit tidak sewajarnya dibentangkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Dewan sudah buat satu keputusan bahawa usul ini diluluskan dan kita semua dengar ia diluluskan dengan undian suara (dan) tanpa undi….itu penting.

“Apa yang dibincangkan, kami pembangkang berkisar satu motif atau tujuan kenapa usul itu dibawa.

“Pada pandangan kami, sepatutnya usul ini tidak perlu dibawa kerana Yang di-Pertuan Agong lantik Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan.

“Ikut budi bicara atau prerogatif, itu kuasa melantik Perdana Menteri. Selepas (Yang di-Pertuan Agong) lantik, dia (Perdana Menteri) bentuk kerajaan (Kabinet). Jadi apa perlu lagi usul percaya Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini .

Dengan pendirian itu katanya, Anwar dan pemimpin kerajaan tidak boleh menyatakan bahawa mereka memperoleh sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen atau majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

“Kita tidak minta undi sebab kita tidak undi. Biasanya kalau kita nak tahu apa undi diberi, kita minta undi belah bahagian. Pihak sana pun tidak minta, itu dia punya pasal….kes tutup.

“Tiada nombor daripada usul ini. Tiada 148 (sokongan majoriti dua pertiga), 160 (sokongan)..tak ada. (Seramai) 222 (sokongan) ke? Tak tahu, itu bukan urusan kami,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya terhadapnya yang dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini diluluskan secara undian suara oleh Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pendirian tidak meminta undian belah bahagian juga diputuskan sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan yang membuat memorandum persefahaman (MoU) yang disifatkan mengenepikan hal ekslusif Ahli Parlimen untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Perkara 63 (Perlembagaan) mengatakan bahawa seseorang Ahli Parlimen ada hak ekslusif menentukan (undi) dia pada satu-satu keputusan dan apa-apa keputusan dibuat dalam dewan ini tidak boleh dianggap satu kesalahan serta tidak boleh didakwa di mahkamah.

“Kedua, Perkara 10 Perlembagaan yang berkenaan ‘freedom of speech’ (kebebasan bersuara) dan ketiga, sudah tentu Perkara 49(1(a) (undang-undang bertukar parti).

“Dalam memorandum in, mana-mana Ahli Parlimen dari parti yang tandatangan MoU ni, kalau tidak undi sokong Perdana Menteri, dianggap lucut jawatan.

“Ada tidak dalam 49A? saya tanya tadi (dalam perbahasan) tiada jawapan. Jawapannya tiada,” katanya.