KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini mencadangkan supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan selama 21 hari.

Ronald, yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah menjelaskan bahawa penangguhan itu penting disebabkan status empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong kerajaan, dipertikaikan.

“Perbezaan kedudukan yang berlaku hari ini, adalah lazimnya sebelum ini (tiada masalah) tetapi dengan akta antilompat parti, maka perbezaan ini mesti diperjelaskan.

“Ini membawa kepada keabsahan kedudukan Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) dalam proses undi percaya kerana kedudukan empat Ahli Parlimen ini dipertikaikan disebabkan akta antilompat parti,” katanya membahas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah itu ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).