KANGAR, 19 Dis – Naib Pengerusi II Perikatan Nasional (PN) Perlis, Russele Eizan mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 itu menggantikan Datuk Hamdan Bahari yang sudah berkhidmat sejak 2013.

Pencalonan Russele, 65, dikemukakan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli pada Majlis Angkat Sumpah Speaker DUN Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena Penggal Persidangan Pertama, DUN Perlis Yang ke-15 yang berlangsung di Kompleks DUN Perlis, hari ini.

Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang hanya mencadangkan satu nama sebagai calon Speaker sebelum pencalonannya itu disokong oleh ADUN Santan, Mohammad Azmir Azizan.

Selain itu, tokoh politik itu juga adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis selain menjadi Ketua Badan Perhubungan PN Kawasan Arau.

Dalam pada itu, Russele ketika berucap selepas secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan dipakaikan pakaian rasminya berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang memilihnya sebagai Speaker.

Katanya, beliau beriltizam untuk memikul amanah yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.

“Sudah tentu saya akan memastikan persidangan DUN kali ini dijalankan dengan baik dalam memastikan intipati kepada pembangunan rakyat dan negeri dapat dijalankan dengan baik.

Persidangan Penggal Pertama DUN Perlis ke-15 berlangsung hingga Khamis ini.

Dalam PRU15 lalu, gabungan PN yang diterajui PAS dan BERSATU berjaya membentuk kerajaan negeri di Perlis selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN di negeri itu.