KUALA LUMPUR, 20 Dis – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berharap kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited untuk melaksanakan Transfromasi Parlimen yang telah diusahakan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata, transformasi itu antara lain akan meminda beberapa akta berkaitan parlimen antaranya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan Kod Etika Ahli-Ahli Parlimen.

Katanya, langkah berkenaan membolehkan satu peraturan diwujudkan bagi memastikan kelakuan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah lebih berhemah dan dihormati.

“Menerusi pemerkasaan akta tersebut, kadar bayaran denda yang lebih tinggi boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang tidak memberi kerjasama di bawah Parlimen atau yang melanggar peraturan dewan,” menurut Rais dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada Selasa.

Kenyataan itu turut menyebut Rais menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh di pejabatnya di sini pada Selasa dan mereka berdua turut membincangkan isu transformasi Parlimen.

Menurut Rais, denda yang dikenakan bagi Ahli Parlimen yang gagal menunaikan tanggungjawab di bawah akta tersebut buat masa kini iaitu RM1,000 adalah terlampau sedikit.

“Kertas Kabinet berkenaan perkara ini telah pun diluluskan semasa Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) diterajui Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Justeru beliau berharap agar kepimpinan yang baharu ini akan meneruskan usaha tersebut demi kepentingan institusi legislatif negara.

“Tan Sri Dr Rais menerangkan bahawa perkara ini telah disuarakan kepada Perdana Menteri Ke-10 baru-baru ini dan sedang dalam perhatian yang khusus,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif untuk mentransformasikan Parlimen yang dimaksudkan itu pertama kalinya dibincangkan dan diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021.