KUALA LUMPUR, 21 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah terima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU memaklumkan, beliau telah menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan seterusnya.

“Oleh kerana Datuk Seri Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada pukul 10.30 pagi menerusi firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners.