KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan menggunakan dana RM10 juta daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) untuk membantu golongan pesawah yang terjejas ketika musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan pesawah seluruh negara termasuk dalam kawasan parlimennya mengalami kerugian akibat sawah padi yang diusahakan tenggelam sepanjang musim hujan ini.

Berikutan itu, katanya, ramai pesawah termasuk dalam Parlimen Tasek Gelugor memerlukan bantuan ganti rugi serta bantuan pembelian benih baharu untuk penanaman semula padi mereka.

“Saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada permintaan saya untuk kebaikan semua termasuk warga Tasek Gelugor,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Wan Saiful bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas selesai sesi Dewan Rakyat semalam.

Ketika pertemuan berkenaan, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu memohon dua perkara untuk dipertimbangkan kerajaan iaitu membabitkan langkah jangka panjang bagi menyelesaikan masalah banjir di beberapa lokasi dalam Parlimen Tasek Gelugor dan langkah segera membantu pesawah yang terjejas ketika musim tengkujuh.

“Langkah jangka panjang dalam menyelesaikan masalah banjir memerlukan perparitan dan sistem saliran diperbaiki supaya masalah banjir tidak berterusan.

“Bagi langkah segera membantu pesawah yang terjejas sepanjang musim hujan ini pula adalah dengan memberi bantuan ganti rugi serta bantuan pembelian benih baharu untuk penanaman semula.

“Saya mencadangkan dana RM10 juta yang diberikan oleh Bernas untuk tahun ini digunakan sebahagiannya untuk membantu pesawah termasuk di Tasek Gelugor yang perlukan bantuan,” katanya.