KUALA LUMPUR, 22 Dis – Sebagai seorang Menteri Kewangan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menuduh dan mengeluarkan persepsi buruk terhadap kerajaan sebelum ini, kononnya sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dibeli dengan wang perjudian.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rakyat Malaysia tahu bahawa PN memperolehi sokongan yang besar di mana 74 ahli Parlimen telah diberikan sokongan dan madat yang kuat.

Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, turut mengingatkan kepada Anwar agar tidak menimbulkan persepsi yang bukan-bukan terhadap PN.

“Jangan pula sokongan yang ikhlas dan jujur daripada rakyat ini ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

“Jika ada apa-apa kesalahan yang telah dilakukan ambil sahaja tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukannya.

“You are the Prime Minister now bukan ketua pembangkang lagi. I’m the Ketua Pembangkang.

“Jangan buat tuduhan sombrono lagi. No more fake news from you,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Anwar ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas.