MACHANG, 23 Dis – Pemuda Perikatan Nasional Machang yang dianggotai Jabatan Amal Pemuda PAS Machang dan Skuad Prihatin Armada BERSATU Machang bergotong royong membersihkan rumah seorang balu yang mempunyai anak OKU.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata banjir lumpur baru-baru ini memberi kesan kepada rumah teres di Sri Aman, Pulai Chondong.

“Moga lebih ramai sukarelawan anak muda membantu keluarga yang terkesan.

“Hubungi Jabatan Amal Malaysia Machang MC11,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada BERSATU merayu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran – JPS Machang untuk membaiki “gertok” (jambatan) di Kampung Tok Kaya, di sini.

Jelasnya, beliau difahamkan peruntukan JPS Machang telah habis dan hanya boleh diperolehi tahun hadapan.

“Seperti yang Anwar telah janjikan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, biarpun tiada lagi rundingan terus tetapi untuk hal kecemasan seperti banjir, kelulusan khas dan serta merta boleh dibuat.

“Jambatan ini sangat penting kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar-masuk untuk penduduk Kg. Tok Kaya.

“Kami khuatir dalam berdepan dengan gelombang kedua dan ketiga kalau ada warga emas yang sakit, para ibu yang sarat mengandung akan berdepan kesukaran yang amat untuk keluar daripada Kg. Tok Kaya.

“Bantu kami YAB Perdana Menteri ke-10! Demi rakyat yang susah dan dalam darurat!” katanya.