KUALA LUMPUR, 24 Dis – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Rafizi Ramli menggunakan kerangka dan formula, seperti yang ditekankan tujuh tahun lalu, untuk menurunkan harga barang dan harga ayam dalam pasaran negara.

Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ketua Armada BERSATU berkata kerajaan gabungan PH-BN wajar menggunakan lima akta sedia ada dan tidak gentar menekan kapitalis yang cekik darah seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang pertama Akta Kawalan Bekalan 1961. Yang kedua, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Yang ketiga, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam) 1996. Keempat, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011. Yang kelima, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.

“Jadi kepada menteri ekonomi, inilah formula anda nak guna untuk menurunkan harga barang.

“Kenapa tak nak guna? Anda dah jadi kerajaan sekarang? Macam mana anda kritik kerajaan BN dulu kan? Gunakanlah kuasa yang ada pada anda sekarang.

“Tapi kalian cakap kalau ayam mahal kurangkan makan ayam – “by right”? Apa guna akta dan instrumen perundangan yang kita ada kalau nak kawal harga ayam pun tak boleh?

“Gunakan akta-akta kita, jangan gentar dengan cukong kapitalis yang cekik darah seperti yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Takkan berani gertak Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary saja?
Itu yang patut kerajaan ini lakukan!” katanya.

Dalam sidang media semalam, Rafizi berkata jika pengguna tidak membeli atau menggunakan barangan yang mengalami kenaikan harga secara tidak wajar, peniaga dan pembekal akan merasakan mereka tidak patut menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.

“Walaupun harga makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan peniaga.

“Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.

“By right (sewajarnya) kalau harga ayam dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan ayam,” katanya lagi.