KUALA LUMPUR, 24 Dis – Perayaan Krismas yang akan disambut penganut Kristian esok membuktikan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap hak rakyat untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sambutan tahunan yang meriah melambangkan keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agam di Malaysia.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menasihatkan orang ramai yang pulang bercuti supaya berhati-hati di jalan raya dan mendoakan mereka sampai ke destinasi masing-masing.

Dalam kenyataan malam ini, beliau turut mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada semua penganut agama Kristian di Malaysia.

“Perayaan ini yang saban tahun disambut dengan meriah melambangkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

“Ia juga membuktikan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terus subur.

“Bagi yang mengambil cuti sempena perayaan Krismas, berhati-hati di jalan raya. Semoga anda semua selamat tiba di destinasi masing-masing,” katanya.