KUALA LUMPUR, 24 Dis – Semua pemimpin BERSATU termasuk ahli Parlimen diminta turun pandang bagi menggerakkan kerja sukarelawan banjir di semua lokasi yang terkesan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan supaya jentera digerakkan secara bersepadu melalui Skuad Prihatin BERSATU sebagai jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban mangsa banjir.

Katanya, jentera BERSATU peringkat Negeri, Bahagian, dan sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan BERSATU telahpun menggerakkan pasukan sukarelawan bantuan banjir untuk misi ini di semua lokasi yang terkesan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meminta semua Ahli Parlimen, Senator dan ADUN-ADUN untuk meneruskan misi bantuan kepada yang memerlukan.

“Skuad Prihatin akan menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan setempat, agensi pengurusan bencana banjir, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta pemimpin setempat supaya skop bantuan dihulurkan tidak bertindan dan boleh dikoordinasi dengan baik dan berkesan.

“Semua peringkat kepimpinan diseru agar memberikan perhatian sepenuhnya di dalam memberikan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa-mangsa banjir, terutamanya fasa pertama bantuan keperluan di Pusat Pemindahan Sementara dan fasa kedua, gotong-royong membersihkan rumah-rumah terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu kata beliau, memandangkan cuaca masih tidak lagi menentu, rakyat disaran agar mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.