KUALA TERENGGANU, 24 Dis – Skuad Prihatin BERSATU menyantuni hampir 100 keluarga mangsa banjir dengan mengagihkan bantuan bakul makanan di dua kawasan Parlimen, iaitu di Dungun dan Kemaman.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata agihan bakul makanan seperti beras dan air mineral adalah permulaan untuk meringankan sedikit beban kepada mangsa-mangsa banjir.

“Di Parlimen Dungun, kami ziarah seramai 20 keluarga yang tinggal di Kuala Jengal dalam DUN Bukit Besi.

“Kemudian, kami ke Parlimen Kemaman, kami santuni 70 keluarga di lima kampung dalam DUN Kijal, iaitu Meraga Beris, Titian Berayong, Mentauh, Padang Kubu dan Payoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata Skuad Prihatin BERSATU kini dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir untuk membersihkan rumah akibat kesan daripada lumpur.

Beliau menyasarkan 300 sukarelawan di negeri ini tampil bersama membantu seperti yang diarahkan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insyallah, seperti yang diarahkan Presiden, kita akan bantu mangsa-mangsa banjir dengan gotong-royong bersihkan kawasan rumah daripada kotoran lumpur.

“Kita akan teruskan misi prihatin ini ke kawasan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan berkata, Skuad Prihatin BERSATU telah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir.

“Saya telah mengarahkan Skuad Prihatin BERSATU untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

“Alhamdulillah, bantuan telah mula disampaikan. Saya harap bantuan ini dapatlah meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut berterima kasih kepada Skuad Prihatin BERSATU yang sentiasa peka dan prihatin dengan nasib rakyat.