KUALA LUMPUR, 25 Dis – Kerajaan gabungan PH-BN yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup walaupun telah memberi jaminan tempoh dua minggu untuk kementerian terbabit menyelesaikannya pada 27 November lalu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata hari ini sudah empat minggu berlalu namun kos sara hidup masih terus naik dan telur masih sukar didapati di pasaran.

“Harga makanan harian makin naik. Tapi tidak ada satu pun langkah konkrit yang kerajaan telah mulakan.

“Nampaknya janji dua minggu ini sama macam janji harga minyak turun dalam 24 jam.

“Sampai hari ini belum habis ‘mencerakinkan’ solusi. Tersengih bertutur bahasa berbunga-bunga untuk tunjuk hebat, tapi hanya wayang untuk menutup kelemahan tak tahu nak buat apa untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.

Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.

“Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat, terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar.

“Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh rakyat dan golongan kaya.

“Jadi saya berikan mereka (majlis tindakan) tempoh dua minggu untuk cerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya itu untuk meringankan beban rakyat yang miskin.

“Tentunya golongan yang kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat (dengan subsidi),” kata Anwar pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia berkata semua ini membuktikan bahawa PH-BN tidak ada idea untuk menyelesaikan isu rakyat, sebaliknya sibuk berlakon wayang sahaja.

“Semua ini membuktikan bahawa PH-BN tak ada idea. Ini adalah kerajaan menyelamatkan diri sendiri dan memenuhi cita-cita peribadi, sebab itu PH-BN tiada idea bagaimana menyelamatkan rakyat.

“Fokus PH-BN ialah kepada perebutan jawatan, perlantikan GLC, dan berlakon wayang sahaja. Nasib rakyat bukan agenda utama PH-BN,” katanya.