PUTRAJAYA, 25 Dis – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyambut baik keputusan kerajaan memberikan potongan 30 peratus jumlah cukai taksiran yang dikenakan kepada semua kediaman yang berharga bawah RM300,000 di Putrajaya.

Mohd Radzi yang juga Naib Presiden BERSATU berkata usaha itu dibuat susulan perbincangan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) tempoh hari dengan menyampaikan hasrat warga Putrajaya agar kadar cukai pintu dapat diturunkan.

“Alhamdulillah, diumumkan tadi kadar cukai pintu bagi unit kediaman berharga bawah RM300,000 dikurangkan sebanyak 30%.

“Harga cukai baharu ini akan mula efektif pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kediaman yang berharga bawah RM300,000 di Putrajaya akan diberikan potongan 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

Katanya, pengurangan itu selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata mengambil kira harga kediaman di Putrajaya yang tinggi, beliau memohon agar pihak PPj dan kerajaan untuk meneliti dan mempertimbangkan pengurangan cukai pintu bagi unit kediaman bernilai sehingga RM500,000.

Ini kerana, katanya, ramai juga dalam kalangan pemilik kediaman begini yang terdiri daripada kumpulan M40 menyuarakan aduan tentang cukai pintu yang tinggi.

“Semoga berita yang baru sahaja diumum ini dapat memberi kegembiraan kepada warga Putrajaya.

“InsyaAllah kita akan terus bersama berjuang demi kesejahteraan warga Putrajaya dari semasa ke semasa,” katanya.