KUALA LUMPUR, 26 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.

Menurutnya, pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Muhyiddin juga menegaskan, pengurusan masjid yang memilih AJK secara demokratik oleh ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

Katanya, sokongan terbuka dinyatakan oleh pendakwah bebas dan artis terkenal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu terhadap PN dan parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Justeru, selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Baru boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya.

Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang wakil AJK mengumumkan pengisytiharan peletakan jawatan 14 lagi anggota masjid Abu Ubaidah Ibni-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Ia susulan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah menafikan hak demokrasi ahli kariah iaitu melalui pelantikan jawatankuasa yang diadakan 28 Ogos lalu.