KUALA LUMPUR, 27 Dis – Keputusan untuk mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan membawa apa-apa kebaikan dalam menangani ancaman keselamatan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, selama ini akta itu berjaya membendung aktiviti gengsterisme dan elemen keganasan di negara ini.

Menurutnya, malah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggunakan akta itu untuk membendung aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

“Ini termasuklah membanteras keganasan terancang (kumpulan kongsi gelap) dan berjaya mengekang pemerdagangan orang dan penyeludupan migrain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkenaan peruntukan dalam SOSMA bakal dibincangkan dan dikaji semula berikutan terdapat pelbagai aspek dalam peruntukan tersebut menerima kritikan terutama dalam isu mengehadkan pemberian jaminan.

Mahathir berkata, SOSMA sebenarnya perlu ditambah baik bukan dilonggarkan sebagaimana usaha yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengusulkan peruntukan subseksyen 4(5) akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

“Saya berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dapat membuat keputusan yang terbaik kerana beliau sebelum ini pernah dua kali menyuarakan untuk tidak meminda akta berkenaan,” katanya.

Jelas Mahathir, tumpuan sebenar terhadap akta berkenaan haruslah berpaksikan bagaimana ia boleh berfungsi untuk menjaga keamanan negara.

“Kita tiada akta yang digeruni dan SOSMA adalah satu-satunya undang-undang yang membolehkan seorang pegawai polis dengan tanpa waran boleh menangkap dan menahan mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan,” ujarnya.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan akta tersebut tidak akan disemak kembali dan menyatakan individu yang ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.