KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan jawatan Menteri Ekonomi disandang Rafizi Ramli sekiranya Ahli Parlimen Pandan itu terus tidak kompeten dalam menjalankan tugas.

Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga membuat semua pihak ‘terduduk’ semata-mata sebab dendam politik.

“Matlamat kerajaan bukan untuk bagi sesiapa ‘terduduk’. Tapi matlamat kerajaan ialah membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik.

“Sepatutnya pada masa ini, lihatlah bagaimana nak mulakan ‘supply-side reform’ (pembaharuan dari segi penawaran) supaya kita ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

“Dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport, semuanya adalah perkara yang boleh kerajaan gunakan untuk bantu rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Jumaat, Rafizi berkata, pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Pada Isnin, Rafizi dalam laporan media memaklumkan bahawa pemimpin PN yang mempertikai kenyataannya berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami seluruh rakyat dengan rasional.

Selain itu, ulas Wan Saiful, sikap angkuh Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) itu yang menyebabkan mereka sentiasa tersasar sedangkan sasaran sebenar sepatutnya adalah menghasilkan idea membantu rakyat.

“Tapi disebabkan angkuh, sasaran PH-BN masih lagi nak balas dendam jika ada orang kritik mereka. Akibatnya idea penyelesaian masalah rakyat masih belum ada.

“Semasa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) memegang kuasa, kita prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan kita langsung tak pernah terniat supaya PH ‘terduduk’.

“Tak kira PN atau PH, semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN yang tidak kompeten,” ujarnya.